
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan dana RM100 juta bagi bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin yang semakin menderita akibat kekejaman rejim Zionis.
Perdana Menteri berkata, dana itu tambahan kepada bantuan RM100 juta yang diberikan kerajaan dua tahun lalu, yang kemudian turut disumbang syarikat dan rakyat negara ini.
Perdana Menteri menegaskan, bantuan tambahan itu amat diperlukan rakyat Palestin berikutan bekalan makanan dan perubatan yang dihantar sebelum ini tidak sampai kepada mereka, akibat sekatan dan kekejaman Israel.
“Mereka (syarikat dan rakyat) sudah membantu sebelum ini dengan pelbagai bantuan tapi dengan (sekatan) zionis Israel, sampai busuk dan rosak barang,” katanya ketika menyampaikan syarahan umum pada Malam Himpunan dan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka di sini, malam semalam.
Perdana Menteri dalam pada itu menyelar sikap Israel yang terus-menerus menyekat bekalan makanan dan perubatan yang amat diperlukan rakyat Palestin.
“Apa jenis manusia ini… ini bukan manusia, ini haiwan,” katanya.