
KUALA LUMPUR: Terima kasih Erdogan, terima kasih Turki. Itulah kata-kata penghargaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada kerajaan Turki yang membantu mempermudah urusan membawa sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) keluar dari Israel.
“Syukur ke hadrat Allah SWT, sembilan lagi wira dan wirawati kita selamat tiba di Istanbul, Turkiye,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata jentera kerajaan di bawah kendalian Kementerian Luar di Istanbul akan memastikan kelancaran proses membawa mereka pulang ke tanah air dalam masa terdekat.
Kementerian Luar mengesahkan semua rakyat Malaysia itu telah dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921 dan tiba di Istanbul, Turki pada 2.30 petang waktu tempatan atau 7.30 malam (waktu Malaysia).
Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara, menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad yang dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lalu.
Mereka kemudian ditunda ke Pelabuhan Ashdod dan dipindahkan ke penjara Ketziot di Negev, Israel.
Lapan rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman, Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, manakala seorang lagi doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.