Anwar tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh dunia

Foto PMO

KUALA LUMPUR: The World’s 500 Most Influential Muslims edisi 2026, terbitan Pusat Kajian Strategik Diraja Islam (RISSC) menyenaraikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tokoh Muslim ke-10 paling berpengaruh dunia.

RISSC yang bernaung di bawah Institut Pemikiran Islam Diraja Aal al-Bayt, Amman, Jordan memilih Anwar sebagai pemimpin Muslim paling berpengaruh ke-10 dunia 2026, meningkat dari kedudukan ke-15 pada 2025 dan ke-17 pada 2024.

Laporan itu menyorot perjalanan panjang beliau dari zaman mahasiswa di Universiti Malaya hingga dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November 2022.
Beliau digambarkan sebagai tokoh yang melalui pelbagai cabaran politik, termasuk tempoh pemenjaraan, pengguguran jawatan, dan perjuangan berpanjangan sebagai pemimpin pembangkang sebelum kembali menerajui pentadbiran negara.

Penerbitan itu turut memetik peranan Anwar dalam meredakan ketegangan di antara Thailand dan Kemboja selepas insiden pertempuran di sempadan, yang membantu mengukuhkan imej Malaysia sebagai pendamai serantau.

“Anwar membantu membina kepercayaan di antara Bangkok dan Phnom Penh, sekaligus mengukuhkan imej Malaysia sebagai perantara keamanan yang konstruktif di Asia Tenggara,” menurut laporan itu.

Dalam isu genosid di Gaza, Anwar dikenali sebagai pemimpin yang lantang memperjuangkan hak Palestin dan mengecam kekejaman rejim Zionis.

Beliau juga secara terbuka mengkritik syarikat Meta kerana memadam hantaran takziah terhadap pemimpin Hamas yang terbunuh, menyifatkan tindakan itu sebagai pengecut dan menyeru agar syarikat tersebut tidak tunduk kepada tekanan Israel.

Penyenaraian ini mengiktiraf kepimpinan Anwar dalam memperjuangkan keadilan sosial, tadbir urus Islam yang progresif, serta komitmen terhadap keamanan serantau dan solidariti umat Islam di peringkat global.

Tokoh yang menduduki tempat pertama dalam edisi 2026 ialah Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani. Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, turut tersenarai di kedudukan ke-15.