
KUALA KANGSAR: Perdana Menteri menegur pemimpin semua parti politik yang dilihat seakan menafikan usaha keras kerajaan dalam mengatasi kesan langsung ekonomi berhubung peningkatan harga minyak negara susulan krisis tenaga akibat konflik Asia Barat.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berusaha sedaya upaya bagi mengekalkan harga petrol RON95 pada harga subsidi RM1.99 seliter iaitu harga antara paling rendah di dunia, selain masih menanggung RM6 bilion nilai subsidi sebulan bagi diesel yang dikhaskan bagi sektor tertentu.
“Dikritik saya dan kerajaan padahal seupaya ikhtiar kita (harga) RON95 itu antara paling rendah di dunia. Dalam keadaan gawat kita turunkan (had subsidi) daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan itu pun dikecam.
“Untuk diesel kenaikan harganya memang memberi kesan kepada rakyat tetapi untuk petani, nelayan, pengangkutan awam semua itu diberikan subsidi yang junlahnya RM6 bilion sebulan. Bayangkan 10 bulan sudah RM60 bilion.
“Nak cukai orang susah, orang marah… Tiada cukai wang (negara) tiada. Jadi inilah masa untuk kita bincang cara baik… Parti kerajaan, parti pembangkang, jangan bebal tak tentu arah,” tegurnya.
Katanya, nak jadi pemimpin masyarakat, nak utarakan komen harus berdasarkan ilmu.
Anwar berucap sewaktu majlis Sesi Ramah Mesra beliau bersama Warga dan Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, di sini.