
PETALING JAYA: Terus percaya dan sokonglah Pakatan Harapan, rayu Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia serta keluarga yang akan mengundi awal pada Pilihanraya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat rayuan itu kerana berkata, setiap undi yang diberikan iitu bukan sekadar menentukan hala tuju negeri.
Malah kata beliau, ia menjadi amanah yang perlu digalas untuk terus memperkukuh kebajikan anggota keselamatan serta keluarga mereka.
“Saya sedar masih banyak yang perlu diperbaiki dan saya tidak pernah menganggap segala yang telah dilakukan itu sudah memadai.
“Namun, dengan sokongan dan mandat berterusan, Insya-Allah kami akan terus bekerja lebih kuat demi mengangkat martabat negara, membela kebajikan rakyat serta memperkukuh kesejahteraan seluruh warga pasukan keselamatan,” katanya.
Pusat pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan ke-16 yang dibuka pada jam 8 pagi Selasa ini akan ditutup secara berperingkat antara 12 tengah hari hingga 5 petang.
Pengundian awal akan membabitkan sebanyak 16,884 anggota tentera dan pasangan serta 5,455 anggota polis.