
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim diiktiraf oleh banyak negara, khususnya dunia Islam, sebagai ikon yang boleh didengar, dipandang tinggi dan pemimpin yang menyatukan, terutama kalangan yang berkonflik.
Pengarah Biro Hubungan Antarabangsa PKR dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Prof Dr Maszlee Malik, berkata meskipun ada pihak yang mempersenda dan meremehkan Anwar sebagai pemimpin telefon, dunia mengakui usahanya dilihat ikhlas dan berkesan walaupun kadangkala jauh dari rantau yang bergejolak.
“Ramai orang boleh bercakap dalam telefon tapi tidak akan sama kesannya dengan Anwar. Berbezalah kalau Maszlee yang bercakap dalam telefon berbanding Anwar.
“Perdana Menteri memang menjadi rujukan pemimpin luar dan sewaktu saya dalam kabinet, Anwar menerima panggilan beberapa ketua negara yang mahukan buah fikiran dan pandangan beliau. Pandangannya diterima. Tak ramai pemimpin sepertinya,” katanya dalam temubual di podcast Kerusi Biru malam tadi.

Menurutnya, sudut pandang Anwar diterima oleh negara, contohnya Afghanistan-Pakistan, yang bertelagah dan ini diharus diakui oleh rakyat dan media Malaysia.
Beliau berkata peranan strategik ialah mengukuhkan hubungan antarabangsa parti, termasuk kerjasama dengan parti politik luar negara, NGO global, dan badan pemikir, yang ditakrif sebagai diplomasi progresif.
Dalam wawancara eksklusif dengan podcast Kerusi Biru itu. Maszlee berkongsi visi beliau untuk memperkukuh jaringan diplomatik parti, memperluas kerjasama serantau, dan memperjuangkan nilai keadilan sosial di peringkat global.
Hubungan Luar PKR, katanya fokus kepada kerjasama dengan parti progresif di Asean, Eropah, dan Timur Tengah manakala dalam isu Palestin dan kemanusiaan: PKR komted dalam menyuarakan solidariti sejagat.
Adalah penting memahami peranan Malaysia di pentas dunia, iaitu menekankan mustahaknya Malaysia menjadi suara sederhana Islam dan demokrasi, katanya.
Dalam temubual itu juga Maszlee menyentuh cabaran geopolitik semasa dan harapan untuk diplomasi rakyat.
Dengan pengalaman akademik dan politik yang luas, Maszlee kini membawa suara Malaysia ke pentas antarabangsa; bukan sekadar sebagai ahli politik, malah sebagai pendidik dan pemikir global.