Anwar pejuang keadilan sejagat: Presiden Brazil

Foto PMO

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pejuang yang berjiwa besar dalam menegakkan keadilan sejagat serta menamatkan penderitaan rakyatnya, kata Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.

Beliau berkata, setiap ungkapan yang dituturkannya itu bukan teks ucapan rasmi tetapi ia adalah luahan yang ikhlas dari hati.

“Ketika saya bertemu dengan sahabat saya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, saya tahu bahawa saya sedang berhadapan dengan seorang teman sejati, seorang yang pernah dianiaya, seperti saya pernah dipenjarakan.

“Beliau seseorang yang mempunyai tekad untuk berjuang demi keadilan dan menamatkan penderitaan rakyatnya,” katanya dalam sidang media bersama Perdana Menteri, di Kompleks Seri Perdana, di sini, semalam.

Lula berkata, kehadirannya ke Malaysia bukan sekadar bagi memperkukuh hubungan diplomatik, tetapi untuk membawa mesej kemanusiaan, keamanan dan keadilan sejagat.

“Saya datang ke sini bukan semata-mata untuk hubungan perdagangan. Saya datang kerana percaya bahawa nilai insan tidak boleh dikalahkan oleh kejahatan. Kita memerlukan keamanan, bukan peperangan, kita perlu perdagangan bebas, bukan perlindungan diri, kita mahu lebih banyak makanan dan hentikan kebuluran,” ujarnya.

Beliau menegaskan, tugas utama seorang pemimpin adalah menjaga rakyat terutama dalam kalangan mereka yang paling lemah dan tersisih.

“Saya dilahirkan di sebuah bandar di mana kanak-kanak mati kelaparan sebelum berumur lima tahun. Saya hanya merasai sepotong roti buat kali pertama ketika sudah besar. Pengalaman itu membuatkan saya bertekad untuk memperjuangkan mereka yang tersisih, rakyat yang hidupnya diabaikan seolah-olah tidak wujud,” katanya.

Lula turut menzahirkan kekaguman terhadap Malaysia yang disifatkannya sebagai contoh pembangunan pesat dan negara yang menunjukkan kepimpinan jelas di rantau ini.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin itu menyaksikan pertukaran lima memorandum persefahaman (MoU), tiga berkaitan industri semikonduktor, satu mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan kerjasama antara badan pemikir.

Antara lain ialah pertukaran Nota Diplomatik antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan Instituto Rio Branco, serta Surat Hasrat (Letter of Intent) antara MARDI dan EMBRAPA.