Anwar Mahu Tindakan Tegas Terhadap Penghasut Kebencian

Foto JPM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi penguatkuasaan undang-undang mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menghasut kebencian di negara ini.

Dalam ucapannya pada perhimpunan penjawat awam di Putrajaya, Anwar merujuk insiden-insiden terkini yang berkaitan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir di Sabah, serta isu kesilapan memaparkan Jalur Gemilang.

Dia berkata isu-isu itu telah dijadikan agenda oleh pihak tertentu untuk membangkitkan sentimen politik dengan merendah-rendahkan dan menghukum pihak lain tanpa berasaskan kebenaran dan fakta.

“Oleh itu hari ini bukan amaran, hari ini bukan teguran, hari ini saya menyatakan untuk menyelamatkan negara ini tindakan tegas mesti dan wajib diambil.

“Kalau ada rakan-rakan yang punyai amanah tidak bersedia… beritahu saya, kita tukar mereka ambil orang yang berprinsip tegas dan berani bertindak ” kata Anwar.