
KUALA LUMPUR: Tindakan rejim Zionis menahan aktivis antarabangsa serta menghalang bantuan kemanusiaan daripada sampai ke Gaza adalah bukti keruntuhan nilai kemanusiaan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, kezaliman yang dilakukan Israel mesti dihentikan serta-merta.
Untuk itu, beliau akan menghubungi Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, untuk menuntut campur tangan segera Washington dalam usaha membebaskan aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF), termasuk rakyat Malaysia, yang ditahan tentera Israel.
“Setakat petang ini, saya telah mengadakan perbincangan bersama Presiden Turkiye, Presiden Mesir dan Perdana Menteri Qatar bagi memohon dukungan mereka dalam usaha mendesak pembebasan sukarelawan serta aktivis Malaysia yang ditahan.
Saya dan pasukan juga berhubung rapat dengan beberapa rakan lain, termasuk Setiausaha Negara Amerika bagi menuntut campur tangan serta tindakan segera tanpa sebarang kelewatan,” katanya melalui rakaman video yang dimuat naik dalam Facebook, semalam.