Anwar Lulus RM10 Juta Bantu Mangsa Sabah

Foto FB Anwar Ibrahim

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi membantu mangsa banjir di Sabah.

Beliau berkata, dana itu akan disalurkan terus kepada mangsa yang terkesan khususnya untuk pembaikan segera kemudahan asas.

Anwar meluahkan rasa terkesan dengan bencana banjir yang sedang melanda negeri itu ketika ini.

“Selain peruntukan sebanyak RM11 juta telah disalurkan melalui kerajaan negeri, saya telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Nadma bagi disalurkan terus kepada mangsa terkesan.

“Kerajaan Madani akan memastikan setiap keluarga terkesan segera menerima bantuan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Justeru, beliau telah mengarahkan seluruh jentera Kerajaan Madani digerakkan dengan segera untuk membantu rakyat yang terjejas agar bantuan dapat sampai tanpa sebarang gangguan.

“Keutamaan kita adalah memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya dengan tumpuan segera,” ujarnya.