
SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Negeri Sembilan mengekalkan kestabilan politik bagi memastikan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri dapat bergerak sehaluan. Menurutnya, kerjasama kukuh antara kedua-dua pentadbiran penting supaya perancangan dan projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan tanpa gangguan, selain menjaga kebajikan rakyat.
“Cuma nak mohon kerjasama kawan-kawan semua supaya biarlah politik kita stabil. Persekutuan dan Negeri, satu hala, satu tujuan. Elak daripada apa-apa penyelewengan, jaga kepentingan rakyat. Itu yang kita cuba sedaya upaya lakukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi santai petang bersama penduduk di Ampangan, di sini, sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16. Anwar turut menyatakan kerajaan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat, namun mengakui masih ada ruang yang perlu diperbaiki dan bersedia menerima teguran membina.
“Nak kata semua betul pun tak juga. Kalau ada yang perlu diperbaiki, kita tegur. Saya minta kawan-kawan bagi kerjasama nanti pilihan raya, buat pilihan yang baik dan bawa mesej Harapan supaya kita dapat terus bersama Kerajaan Persekutuan. Kita buat yang sebaiknya untuk rakyat kita,” katanya.