Anwar ke Timor Leste, Pererat Hubungan Dua Hala

Foto PMO

DILI (TIMOR-LESTE): Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Timor Leste dilihat bersejarah kerana ia adalah kunjungan pertama seorang Perdana Menteri Malaysia ke negara itu dalam tempoh 22 tahun.

Ia juga dianggap bermakna kerana Anwar memainkan peranan penting dalam mengangkat aspirasi Timor-Leste untuk menyertai Asean. Anwar memulakan lawatan rasmi pertamanya ke negara itu selama dua hari bermula hari ini.

Lawatan yang mengukuhkan lagi hubungan dua hala itu juga manifestai sokongan Malaysia terhadap kesediaan Timor Leste menjadi anggota ke-11 Asean.

Anwar dijangka disambut oleh Presiden Timor Lesta, Dr José Ramos-Horta serta Perdana Menteri, Kay Rala Xanana Gusmão.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, selain pegawai kanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) serta Kementerian Luar mengiringi Anwar dalam lawatan itu..

Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Singh menyifatkan lawatan ini sebagai amat signifikan kerana bukan saja memperkukuh hubungan erat kedua-dua negara, tetapi juga menyerlahkan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 dalam merealisasikan penyertaan penuh Timor-Leste ke dalam blok serantau itu.