
KUALA LUMPUR: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjanjikan kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di Negeri Sembilan jika gabungan itu diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 yang berlangsung pada 1 Ogos ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH itu memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat lebih kukuh bagi meneruskan pentadbiran di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. Menurutnya, sejak 2018 pelbagai usaha telah digerakkan kerajaan negeri, namun masih banyak agenda pembangunan dan kebajikan yang perlu diteruskan.
Hantaran beliau turut disertakan petikan Surah Al-Ma’idah mengenai keperluan saling bantu-membantu dalam kebaikan serta mengelakkan permusuhan. “Semoga semua calon HARAPAN dikurniakan kekuatan, dipermudah segala urusan dan diberikan kejayaan yang terbaik. Kepada Allah SWT kita berserah,” katanya.
Pada PRN kali ini, PH bertanding di kesemua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan PKR diperuntukkan 16 kerusi, DAP 11 dan Amanah sembilan. Pengundian awal ditetapkan pada 28 Julai manakala hari mengundi pada 1 Ogos, membabitkan 103 calon secara keseluruhan. Pada PRN 2023, PH memenangi 17 kerusi, BN 14 dan PN lima.