Anwar Jamin Ikhtiar Bebaskan Sukarelawan GSF

Foto Fail / Bernama

SEPANG: Segala usaha akan dilakukan untuk memastikan keselamatan dan pembebasan sukarelawan Malaysia yang ditahan rejim Zionis, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Komitmen itu dinyatakan oleh Perdana Menteri kepada Ketua Pengarah Pusat Komunikasi dan Kawalan Kapal (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, yang menghubunginya jam 9.38 pagi tadi.

Menurut Dr Sani Araby, SNCC turut dihubungi Wisma Putra, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi, Timbalan Perdana Menteri serta Pejabat Perdana Menteri bagi mengikuti perkembangan secara langsung misi itu.

“Perdana Menteri memberi komitmen sebagai penaung utama misi Sumud Nusantara ini. Beliau sendiri memaklumkan akan melihat secara ‘one to one’ untuk misi ini.

“Perdana Menteri juga menyatakan akan membuat panggilan kepada rakan sejawatnya, Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Mesir Fatah, Al-Sisi, begitu juga dengan Arab Saudi.

“Kita mohon untuk Perdana Menteri dapat mewakili suara kita dan melaksanakan apa yang sangat kita terhad untuk lakukan iaitu laluan diplomatik dan juga laluan hubungan erat antara Malaysia dan juga negara-negara besar termasuk daripada United Kingdom, Sepanyol dan sebagainya untuk dapat kita berunding (supaya) semua delegasi kita dibebaskan segera ,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Beliau berkata, komitmen itu menjadi bukti jelas bahawa misi ini mendapat perhatian langsung daripada pemimpin nombor satu negara.