Anwar Hargai Sikap Terbuka Thai, Kemboja

Foto PMO

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai sikap terbuka kedua-dua rakan sejawatannya dari Kemboja dan Thailand untuk meneruskan rundingan bagi meredakan ketegangan dan mengelakkan sebarang salah faham.

Bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul kelmarin berhubung ketegangan yang berterusan di sempadan kedua-dua negara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia tetap komited untuk menyokong dialog aman.

“Walaupun resolusi muktamad masih belum dicapai, pembabitan diplomatik yang berterusan memastikan tiada lagi insiden serius berlaku pada waktu kritikal ini.

“Malaysia akan terus menyokong dialog aman, penyelesaian berdasarkan undang-undang antarabangsa dan mengukuhkan kerjasama serantau demi menjaga kestabilan dan keselamatan wilayah yang dikongsi bersama,” katanya menerusi hantaran di X.