Anwar gesa Trump terus rintis damai di Gaza

Foto Reuters

KUALA LUMPUR: Keamanan di dunia khususnya di Semenanjung Gaza harus diberikan tumpuan, saran Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Asean berkata Trump sudah memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan dapat dicapai di wilayah Palestin itu, khususnya menerusi Pelan Damai yang digagaskan pentadbirannya bersama beberapa negara sebelum ini.

“(Terima kasih) kepada Presiden (Trump) atas usahanya untuk memastikan keamanan di banyak bahagian dunia, termasuk Gaza dan saya berharap beliau kekal fokus dan memastikan terdapat keamanan yang menyeluruh, seperti yang dunia perlukan.

“Saya benar-benar gembira untuk mendengar daripada anda secara peribadi akan tekad Presiden untuk memastikan keamanan dapat dicapai di kawasan yang paling sukar, paling mustahil itu (Gaza)…. (namun kini ia) semakin hampir,” katanya.

Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemeteraian Perjanjian Damai Kuala Lumpur di ntara Kemboja dan Thailand di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.

Perjanjian damai itu ditandatangani Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet di luar acara Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan.