
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan memerintahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim membayar kos RM50,000 kepada Muhammed Yusoff Rawther selepas menarik balik rayuannya untuk merujuk lapan persoalan undang-undang berkaitan isu kekebalan berhubung saman yang difailkan bekas pembantu penyelidik itu.
Datuk Wong Kian Kheong yang mengetuai panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara memerintahkan Perdana Menteri membayarnya dalam tempoh sebulan waktu bekerja sehingga pukul 5 petang, 6 April ini.
Sehubungan tu, beliau yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azmi Ariffin dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membatalkan rayuan Anwar.
Anwar memohon merujuk lapan persoalan itu bagi menentukan sama ada beliau mempunyai kekebalan daripada saman yang difailkan oleh bekas penyelidiknya atas dakwaan serangan seksual.
Ekoran rayuan ditarik balik, perbicaraan kes saman Muhammed Yusoff terhadap Anwar akan diteruskan pendengarannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur manakala pengurusan kes ditetapkan pada 8 April ini.
Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff memaklumkan kepada pihak media, perbicaraan itu dijadual didengar di hadapan hakim baharu, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.
Ketika membuat perintah berkaitan kos, Hakim Kian Kheong berkata, terdapat dua permohonan interlokutori iaitu yang pertama berkaitan penggantungan bicara di Mahkamah Tinggi sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Ujarnya, permohonan kedua, Perdana Menteri selaku perayu memohon memfailkan rekod rayuan tambahan selain rayuan tersebut melibatkan lapan persoalan perlembagaan yang berkepentingan awam.