
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi ekonomi Malaysia dan menekankan keutamaan kerajaan kekal memastikan kestabilan ekonomi diuruskan secara bertanggungjawab.
Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memastikan kestabilan ekonomi bukan sahaja diuruskan secara berhemah, tetapi juga dirasai oleh rakyat melalui peluang pekerjaan yang selamat dan adil, serta keyakinan yang berterusan pada masa hadapan.
“Kerajaan Madani akan terus menguruskan kewangan awam secara berhemat dan mempercepatkan pembaharuan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, supaya pertumbuhan yang kita bina benar-benar kukuh, berdaya tahan dan memberikan manfaat bermakna kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.
Awal semalam, Ketua Misi IMF untuk Malaysia Masahiro Nozaki berkata Malaysia telah menunjukkan daya tahan yang ketara terhadap ketegangan perdagangan global dan ketidaktentuan dasar.
Menurutnya, ekonomi Malaysia berkembang pada kadar yang sihat tahun ini, disokong oleh penggunaan dan pelaburan domestik yang mantap, pertumbuhan pekerjaan yang kukuh, dan kitaran menaik sektor teknologi global.
“Prestasi ini mencerminkan dasar ekonomi yang kukuh, pihak berkuasa telah mengekalkan dasar makroekonomi dan kewangan yang berhemat,” kata Nozaki selepas berunding dengan pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkepentingan lain.
Ketahanan ekonomi Malaysia dijangka berterusan dalam jangka masa terdekat, disokong oleh permintaan domestik yang kukuh, dengan kakitangan IMF mengunjurkan pertumbuhan akan merosot sedikit daripada 4.6 peratus pada 2025 kepada 4.3 peratus pada 2026, terutamanya mencerminkan kesan tarif Amerika Syarikat yang lebih tinggi ke atas negara.