Analogi ‘lembu betina’: Pemimpin PAS Mungkin Langgar Undang-Undang

Foto Fail/Parlimen Malaysia

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said berkata, pemimpin Pas mungkin telah melanggar beberapa peruntukan undang-undang apabila membandingkan pemimpin wanita dengan haiwan dan memetik ayat al-Quran untuk mempertahankan analogi itu.

Dalam satu hantaran di platform X, Azalina berkata, pemimpin-pemimpin Pas terbabit mungkin telah melanggar beberapa peruntukan, iaitu Seksyen 509, 504 dan 298A Kanun Keseksaan.

Ketiga-tiga seksyen itu masing-masing berkaitan perbuatan mengaibkan kehormatan seseorang, mengaibkan dengan niat membangkitkan pecah keamanan, serta tindakan yang menyebabkan suasana tidak harmoni.

Beliau tidak menamakan pemimpin-pemimpin berkenaan, tetapi memuat naik tangkap layar dua laporan berita memetik Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran Salman Al Farisi dan Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man.

“Kepada mereka yang berkenaan: Jika anda masih membandingkan pemimpin wanita dengan haiwan pada 2025, tahniah!

“Hati-hati, sebelum kena saman,” katanya menyindir kedua-dua pemimpin Pas itu.