Anak Syarikat TNB Terbit Sukuk Wakalah RM1.5 Bilion

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB), menerbitkan sukuk wakalah kelestarian dengan nilai nominal RM1.5 bilion sebagai susulan kepada program sukuk wakalah.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank IB berperanan sebagai pengurus utama/penyelaras bersama bagi sukuk wakalah kelestarian RM1.5 bilion.

“Hasil daripada terbitan sukuk wakalah itu akan digunakan oleh penerbit untuk projek yang layak dan memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Rangka Kerja Sukuk Kelestarian TPGSB,” menurut kenyataan itu.

TPGSB berperanan penting dalam menyokong aspirasi kelestarian TNB dan komitmen mengurangkan perubahan iklim dengan melaksanakan teknologi penjanaan tenaga lebih hijau, bersih dan cekap.