Anak Seni Terus Semarak Jiwa Malaysia

Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Hari Malaysia bukan sekadar peringatan sejarah penyatuan wilayah, sebaliknya kisah mengenai hati yang belajar menghormati dan menghargai antara satu sama lain.

Dalam dunia seni, gema Hari Malaysia lebih daripada kibaran Jalur Gemilang atau laungan patriotik. Ia dizahirkan menerusi karya, persembahan dan keterlibatan anak seni yang menjadikan kreativiti sebagai medium menyemai rasa cinta negara.

Bagi pelakon muda, Hariz Hamdan, 23, keindahan Malaysia bukan hanya terletak pada satu budaya, tetapi pada kekayaan sejarah serta kepelbagaian kaum yang menyatukan rakyat di bawah nama Malaysia.

“Sebenarnya, budaya di Malaysia sangat banyak. Kita memiliki sejarah yang unik, bukan hanya daripada satu kaum, sebaliknya gabungan Melayu, Cina dan India. Itulah yang menjadikan negara kita berbeza dengan tempat lain.

“Saya terharu kerana keindahan Malaysia terletak pada kepelbagaian kaumnya. Pelancong ke sini juga boleh menikmati pelbagai juadah daripada masyarakat Melayu, Cina dan India. Kita ada tiga budaya utama dalam satu negara dan itulah yang menjadikan Malaysia lebih indah.

“Kita juga berpeluang berkawan dengan pelbagai kaum. Alhamdulillah, walaupun hidup dalam masyarakat berbilang bangsa, saya tidak nampak banyak isu perkauman. Kita boleh duduk semeja, bergaul dan itu yang seharusnya diraikan.” katanya.

Hariz juga menyangkal pandangan generasi muda semakin jauh daripada sambutan kebangsaan.

Bagi pelakon berwajah pan-Asia, Daniel Fong, 32, kepelbagaian budaya, agama dan gaya hidup di Malaysia menjadi sesuatu yang amat dibanggakan, terutama apabila dipandang dari sudut dunia luar.

“Apa yang saya paling bangga mengenai Malaysia ialah kepelbagaian. Walaupun kita ada macam-macam budaya dan agama, kita semua masih boleh hidup bersama.

“Kawan-kawan saya dari luar negara suka melancong ke Malaysia kerana mereka kagum dengan keharmonian yang wujud di sini, terutama apabila melihat cara rakyat menyambut pelbagai perayaan,” katanya.

Pelakon dan bekas atlet seni mempertahankan diri, Theeban G, 34, menyifatkan Hari Malaysia sebagai pengingat bahawa Malaysia bukan sekadar tanah air, tetapi sebuah rumah sebenar yang membentuk dirinya.

“Saya sudah pergi ke banyak negara dan melihat pelbagai jenis masyarakat. Tetapi bila saya pulang ke sini, perasaannya berbeza. Malaysia adalah rumah saya. Ramai yang bertanya, bila sudah besar mahu tinggal di negara mana, dan jawapan saya tetap Malaysia.

“Di sini bukan sekadar tempat saya dibesarkan, ia lebih daripada itu. Orang, makanan dan masyarakat di sini membentuk siapa saya hari ini,” katanya.

Berkongsi pengalaman, Theeban berkata, media sosial kadang kala menggambarkan rakyat Malaysia berpecah, namun realiti yang dialaminya lebih harmoni.

“Kita semua orang Malaysia, dan itulah identiti yang tidak boleh ditukar.” kata Theeban.