
KUALA LUMPUR: Ogos dan September adalah Bulan Kemerdekaan dan pembentukan Malaysia. Seperti biasa setiap kali hadir Bulan Kemerdekaan, sudah pasti banyak video eksperimen sosial berkisar mengenai kemerdekaan bertebaran di media sosial.
Niat itu bagus, tetapi yang sedikit menyakitkan mata adalah banyak video eksperimen sosial itu menunjukkan sisi kejahilan golongan muda untuk mengenal negara.
Mungkin bagi segelintir individu, ia adalah video menghiburkan, tetapi dari sudut pandang berbeza, ia adalah memalukan.
Jika lihat di media sosial, pelbagai video anak muda gagal menjawab soalan asas mengenai Malaysia. Ada yang terkeliru antara bendera Johor dan Kelantan, ada pula yang langsung tidak tahu siapa Perdana Menteri pertama.
Lebih menyakitkan mata hati, mereka ketawa, seolah-olah perkara itu tidak penting. Fenomena ini bukan sekadar insiden terpencil, tetapi cerminan rapuhnya semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda kita.
Jika soalan asas mengenai bendera dan pemimpin negara pun gagal dijawab, bagaimana pula dengan kefahaman mereka terhadap erti kemerdekaan, perjuangan tokoh bangsa atau tanggungjawab sebagai warganegara?