Anak Muda Digalak Jadi Pelaut

Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR: Hanya dengan menambah bilangan pelaut tempatan sahaja Malaysia boleh mengurangkan kebergantungan kepada kru asing, kata Ketua pegawai eksekutif Maritime Network Sdn Bhd, Datuk Seri Jeyenderan Ramasamy.

Menurutya, langkah menambah bilangan pelaut itu selaras dengan perkara yang dibangkitkan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook sebelum ini.

“Ramai rakyat Malaysia masih mempunyai tanggapan negatif mengenai kerjaya di laut, termasuk perjalanan jauh, hidup terasing dan cuaca mencabar.

“Kerjaya pelaut menawarkan peluang bekerja di peringkat global, gaji baik dan laluan kerjaya jelas,” katanya.

Menurutnya, kerjaya pelaut tidak seperti kerja pejabat dari 9 pagi hingga 5 petang. Ia memerlukan syif sepanjang masa dan berada jauh dari rumah selama beberapa bulan.

“Ramai anak muda kini lebih mementingkan keseimbangan kerja dan kehidupan, jadi mereka terlepas pandang manfaat jangka panjang kerjaya ini,” katanya.

Baru-baru ini, Loke memaklumkan hampir 40 peratus kru kapal di negara ini terdiri daripada warga asing.

Sehubungan itu, beliau menyeru lebih banyak syarikat tempatan menyokong Akademi Laut Malaysia (ALAM) melalui tajaan dan penempatan latihan.

Setakat ini, Maritime Network telah melatih lebih 120 kadet bagi bidang dek, enjin dan pentadbiran darat.