
BUTTERWORTH: Cadangan Ahli Prlimen Bagan, Lim Guan Eng untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih' kepadaDragon Temple Lane’ dibantah oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang.
Ketua AMK negeri, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal, berkata nama Jalan Pantai Bersih sudah sebati dengan penduduk setempat.
Ia juga, katanya mencerminkan identiti kawasan, sejarah dan memori kolektif masyarakat yang lama mendiami kawasan terbabit.
Menurutnya, sebarang usaha untuk menukar nama jalan yang digunakan sejak sekian lama itu tanpa keperluan mendesak, hanya akan mengelirukan penduduk serta menimbulkan ketidakselesaan awam.
“Tidak kira apa pun alasan yang diberikan, AMK Pulau Pinang menegaskan bahawa nama Jalan Pantai Bersih telah sebati dengan penduduk setempat.
“AMK Pulau Pinang berpandangan bahawa tindakan sebegini tidak inklusif serta langsung tidak munasabah dan tidak mencerminkan keutamaan sebenar rakyat yang lebih memerlukan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, perumahan dan kebajikan,” katanya.
Sebelum ini, tular mengenai laporan akhbar berbahasa Cina berhubung cadangan Guan Eng yang menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang supaya menamakan semula Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane.