AMINUDDIN KE LINGGI ATAS KERELAAN, BUKAN ARAHAN

Sumber Gambar : FB Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun

SEREMBAN: Berpindah ke kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi adalah percaturan politik untuk membantu Pakatan Harapan memperoleh kemenangan lebih selesa, kata Pengerusi gabungan Itu, Aminuddin Harun.

Menurut Aminuddin, berkata beliau tidak bimbang sekiranya ada pihak menganggap langkah mencabar kubu kuat Barisan National (BN) itu sebagai usaha menamatkan karier politiknya.

Menteri besar sementara Negeri Sembilan itu menjelaskan keputusan berkenaan bukan arahan pucuk pimpinan, sebaliknya dibuat atas kehendaknya sendiri meskipun sebelum ini menyandang DUN Sikamat.

“Ini bukan arahan tetapi saya yang menawarkan diri, saya ditanya oleh pimpinan dua tiga kali betul kamu nak ke Linggi, saya katakan ini saya telah buat keputusan.

“Isunya bukan kem mana, kem A ke, kem B ataupun kem Rafizi, tetapi bagi saya yang penting adalah pastikan bahawa Pakatan Harapan menang pada pilihanraya kali ini,” katanya di Port Dickson.

Linggi adalah satu daripada lima DUN di bawah parlimen Port Dickson yang kini diwakili Aminuddin di peringkat persekutuan.

Kerusi itu dimenangi calon BN Mohd Faizal Ramli pada pilihanraya negeri 2023 selepas menewaskan calon PN Zambri Mat Said.

PH tidak bertanding di Linggi ketika itu berikutan kerjasama pilihanraya dengan BN susulan pembentukan kerajaan persekutuan.

Kali terakhir PH bertanding di Linggi adalah pada pilihanraya umum 2018 apabila gabungan itu menduduki tempat kedua.

Bagaimanapun, keputusan bagi kawasan mengundi Linggi dalam pertandingan Parlimen Port Dickson pada pilihanraya umum ke-15 menunjukkan sokongan yang agak seimbang.

PH memperoleh 36 peratus undi, diikuti BN dengan 33 peratus dan PN sebanyak 29 peratus.

Pada pilihanraya negeri 2023, ketika BN dan PH bekerjasama, Umno memenangi Linggi dengan 55 peratus undi manakala PN memperoleh 45 peratus.

Peningkatan sokongan terhadap PN dipercayai turut didorong undi protes penyokong Umno yang tidak selesa dengan kerjasama BN-PH.

Aminuddin berkata, perpindahannya ke Linggi juga bertujuan membantu PH memperoleh jumlah kerusi mencukupi bagi membentuk kerajaan negeri yang stabil.

“Kita perlukan jumlah kerusi yang lebih selesa untuk kita menjadi kerajaan yang stabil dan saya yakin bahawa perpindahan saya akan memberi impak satu persaingan yang hebat di Linggi.

“Bukan mudah untuk saya buat keputusan, saya telah berfikir, saya telah melihat suasana, dan keupayaan untuk saya bergerak, bukan mudah untuk saya turun padang balik semula untuk menjalankan aktiviti rumah ke rumah berjumpa dan memastikan bahawa saya dapat bertemu lebih banyak pengundi.

“Pertamanya keputusan politik, keduanya adalah keputusan untuk memastikan bahawa Linggi dapat kita bangunkan sebagai satu kawasan yang lebih hebat selepas ini,” katanya.