
SEREMBAN — Menteri Besar Negeri Sembilan yang tewas, Datuk Seri Aminuddin Harun, menyampaikan pesanan buat penggantinya supaya meneruskan dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat, sambil menambah baik segala kelemahan sedia ada.
Beliau berkata perkara paling utama ialah memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara dan momentum pembangunan negeri tidak terhenti.
“Teruskan, buat yang terbaik. Saya yakin boleh buat yang terbaik. Jaga negeri, jaga anak bangsa, pastikan lebih baik daripada apa yang saya berikan,” katanya pada sidang media Pakatan Harapan (PH) selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
“Teruskan apa yang elok, boleh perbaiki apa yang lemah,” tambahnya.
Aminuddin, yang tumbang di DUN Linggi selepas berpindah dari kubu lamanya di Sikamat, berkata beliau menerima keputusan pilihan raya dengan hati terbuka dan menganggap menang atau kalah sebagai lumrah dalam dunia politik.