Aminuddin Mahu Anak Negeri Sembilan Yakini Potensi Negeri Sendiri

Foto Malaysiapress

SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan masa depan terbaik anak Negeri Sembilan terletak di negeri ini, dan beliau tidak mahu generasi muda membesar dengan impian untuk berhijrah keluar. “Saya mahu mereka membesar dengan keyakinan bahawa masa depan terbaik mereka berada di bumi yang mereka cintai ini,” katanya di Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, hari ini.

Pengerusi PH negeri itu berkata parti berkenaan kembali menemui rakyat bukan dengan janji kosong atau retorik semata-mata, sebaliknya membawa rekod pentadbiran, hasil serta pengalaman lapan tahun memimpin negeri. Menurutnya, Negeri Sembilan kini bersedia melakukan lonjakan lebih besar menerusi visi Central Corridor Pembangunan Harapan Malaysia, yang meletakkan negeri itu sebagai penghubung strategik antara Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka dalam ekosistem merangkumi teknologi, logistik, pelaburan, inovasi, pelancongan serta modal insan.

Beliau berkata projek seperti Malaysia Vision Valley 2.0, NS Semiconductor Valley, Nilai Advanced Photonic AI Manufacturing City, Seremban Sentral, Hospital Enstek dan jaringan logistik baharu digerakkan bagi mewujudkan pekerjaan bergaji tinggi serta menarik pulang bakat terbaik Negeri Sembilan yang sebelum ini terpaksa berhijrah mencari peluang di negeri lain.

Dalam pada mengejar pembangunan, Aminuddin menegaskan Negeri Sembilan tidak boleh kehilangan identiti, budaya dan jiwanya, sebaliknya perlu menyeimbangkan kemajuan bandar dengan desa serta ekonomi dengan alam sekitar. Beliau turut berikrar mengekalkan kestabilan, menguruskan kewangan negeri secara berhemah, memperkukuh institusi Islam, memelihara Adat Perpatih dan mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk sekiranya sekali lagi diberikan mandat.