
KUALA LUMPUR: Kerajaan melihat pembabitan warga emas dalam pasaran pekerjaan bukan sahaja penting dari sudut sosial tetapi turut memberi nilai tambah kepada ekonomi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata usaha menggalakkan pengambilan warga emas untuk bekerja dilaksanakan menerusi insentif cukai kepada majikan yang menggajikan pekerja berusia 60 tahun ke atas.
Insentif berkenaan yang berkuat kuasa sejak 2019 dan dilanjutkan hingga tahun taksiran 2025 bertujuan memastikan golongan berkenaan mempunyai sumber pendapatan tetap.
“Pembayar cukai warga emas juga boleh menuntut pelbagai jenis pelepasan cukai pendapatan individu yang meliputi keseluruhan spektrum kehidupan seperti pelepasan diri dan jagaan tanggungan, pelepasan ke atas perbelanjaan berkaitan kesihatan dan rawatan perubatan, persaraan, insurans serta gaya hidup termasuk aktiviti sukan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi Kementerian Kewangan di Dewan Negara, kelmarin.
Menurut beliau, kerajaan turut membangunkan rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 yang merangkumi aspek pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial, sekali gus mempersiapkan Malaysia menghadapi status negara tua.