
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak pernah mengambil sikap agresif berkaitan isu sempadan dengan Indonesia, sebaliknya mengikut undang-undang dan rundingan.
Anwar yang dalam lawatan kerja ke Indonesia berkata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor juga turut bersamanya dalam delegasi lawatan berkenaan, bagi memudahkan proses rundingan berkenaan bersama Indonesia.
“Berkenaan isu Ambalat (Laut Sulawesi), ia mengikut undang-undang, kita tidak mengambil sikap agresif, jangan menceroboh kawasan masing-masing,” katanya semasa pertemuan bersama Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia dan Indonesia (ISWAMI) dan pemimpin redaksi (pemred@ketua-ketua pengarang) Indonesia, di Jakarta hari ini.
Anwar yang tiba di Jakarta pada Isnin turut diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Isu Ambalat merupakan isu tuntutan bertindih antara Malaysia dan Indonesia di kawasan perairan di Laut Sulawesi yang terletak di antara Kalimantan Timur, Indonesia dan tenggara Sabah itu, timbul sejak penerbitan peta oleh Malaysia pada 1979.