Amaran Keras PM Terhadap Penggugat Keamanan

Foto PMO

GOMBAK: Tahan, humban mereka, kata Perdana Menteri kepada pihak yang menggugat keselamatan negara

Itulah amaran keras Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu tindakan maksimum dikenakan kepada mana-mana pihak yang mengganggu gugat keselamatan, ketika negara dihadiri tetamu.

Perdana Menteri berkata, beliau memberi arahan tegas kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail untuk mengambil tindakan itu pada mesyuarat Kabinet kelmarin, selain menghantar mesej kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.

Amaran beliau merujuk kepada satu perhimpunan yang dirancang diadakan di ibu negara malam ini, anjuran Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH) disertai 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyuarakan kebimbangan terhadap isu pembinaan rumah ibadat haram yang dilihat semakin berleluasa di seluruh negara.

Perhimpunan itu diadakan ketika Perdana Menteri India, Narendra Modi berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama dua hari, bermula semalam.

Beliau mengingatkan agar isu-isu sensitif tidak dieksploitasi dengan cara yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum Melayu, Cina dan India, sambil menegaskan bahawa keselamatan negara tidak boleh dikompromi atas apa juga alasan.

Beliau turut memberi amaran kepada peserta perhimpunan supaya tidak melampaui batas peranan masing-masing dan bertindak seolah-olah penguatkuasa undang-undang.