Amaran Anwar mengenai penyakit suka cari masalah

Foto Bernama

IPOH: Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan rakyat supaya berhenti memberi tumpuan kepada isu remeh, sebaliknya mengutamakan perpaduan dan kemajuan bersama.

Perdana Menteri juga memberi amaran mengenai mentaliti ‘penyakit mencari masalah’.

Menurutnya, walaupun setiap negara berdepan cabaran, sikap terlalu taksub terhadap perkara kecil hanya akan menghakis keharmonian.

“Dalam mana-mana negara, ada kerja yang sedang dilakukan dan ada juga masalah. Dalam sebuah keluarga pun, kadang-kadang ada masalah kecil antara suami isteri, anak-anak dan dengan cucu tetapi keluarga itu mesti kekal bahagia.

“Kadang-kadang apabila orang bercakap mengenai masalah, ada yang hanya nampak masalah. Kalau saya lihat di sini pun, ada masalah juga.

“Apa, separuh kerusi berwarna hitam atau separuh merah, itu juga masalah?. Ada yang duduk, ada yang berdiri, itu juga masalah?. Itu penyakit orang yang suka mencari masalah. Setiap hari mereka cari masalah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Khantan di sini.