Al-Quran, Air Zamzam Tak Terjejas Dalam Kebakaran

Foto Berita Harian

KOTA BHARU: Senaskhah kitab suci al-Quran dan sebotol air zamzam ditemui dalam keadaan masih baik walaupun rumah terbakar sepenuhnya bersama lima kereta.

Siti Haminah Daud, 65, yang kini tinggal sehelai sepinggang setelah kediamannya musnah dalam kebakaran di Kampung Kubur Maras, Langgar di sini, berkata, semua itu satu peringatan dan tanda kebesaran Allah SWT yang mengundang keinsafan dalam dirinya serta keluarga.

“Air zamzam di dalam botol itu dibeli sejak tiga tahun lalu dan sentiasa diminum sebagai ikhtiar mengubati sakit tulang belakang,” katanya.

Siti Haminah berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang tadi ketika beliau berseorangan di rumah.

Ketika itu, beliau berkata, suaminya yang juga seorang pesara guru, Syed Abdul Hamid Syed Ahmad, 77, keluar menunaikan solat zuhur berjemaah di Masjid Langgar.

“Saya sedang bersiap mengambil wuduk di dapur sebelum tiba-tiba terdengar bunyi kotak fius meletup dan melihat api menyambar dinding rumah.

“Saya segera menghubungi suami tetapi tidak berjawab. Dalam keadaan ketakutan serta cemas, saya menjerit meminta tolong.”Mujur jeritan saya didengari anak jiran di rumah sebelah yang kemudian bertindak pantas memimpin saya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.