Aktiviti Tidak Bermoral dalam Kem: MINDEF arah ATM Laksana Siasatan Segera

Foto Hiasan MINDEF

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini mengarahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melaksanakan siasatan dalaman segera susulan dakwaan wujud budaya tidak bermoral dalam kem tentera yang tular di media sosial.

Menurut satu kenyataan, MINDEF memaklumkan siasatan itu bagi menentukan kesahihan dakwaan berkenaan kerana ia tidak mencerminkan budaya, nilai dan amalan sebenar ATM yang berteraskan disiplin, profesionalisme serta pematuhan ketat terhadap prosedur keselamatan.

“Jika didapati benar, tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak selaras dengan peraturan, tatacara serta undang-undang semasa”

MINDEF menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kesimpulan awal yang boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan reputasi kementerian dan ATM.

“Kementerian Pertahanan dan ATM sentiasa komited memastikan disiplin, integriti dan profesionalisme warga pertahanan berada pada tahap tertinggi”

Beberapa platform media sosial sebelum ini menyiarkan klip video mendakwa bahawa pegawai tentera sedang berpesta bersama sekumpulan wanita di dewan makan kem tentera.

Turut tular tangkap layar mesej yang mendakwa pegawai tentera junior perlu menyediakan wanita untuk pegawai senior.