Aktiviti songsang: JAWI panggil individu untuk dirakam percakapan

Foto Bernama

PUTRAJAYA: Keterangan dan percakapan sekumpulan lelaki yang disyaki terbabit dalam aktiviti tidak bermoral di sebuah kelab kesihatan di ibu negara Jumaat lalu diambil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata mereka yang disyaki dipanggil ke Bahagian Penguatkuasaan Jawi untuk diambil keterangan dan dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata rakaman percakapan itu dijalankan berdasarkan Seksyen 59, Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) [Akta560] 1997.

“Jawi sudah selesai mengadakan siasatan terhadap individu yang disyaki bagi tujuan siasatan berkaitan Seksyen 25 (Liwat), Seksyen 29 (Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam) dan Seksyen 47 (Percubaan) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 559),” katanya.