Akta Lindungi Pemberi Maklumat Diperkasa

Datuk Seri Azalina Othman menjawab soalan di parlimen hari ni. (foto Parlimen Malaysia)

Beberapa cadangan dasar sedang dipertimbangkan dalam menggubal cadangan pindaan Akta 711 sebagai penambahbaikan kepada akta perlindungan pemberi maklumat 2010, kata Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman.

Menurutnya, cadangan pengubahsuaian di Bawah Seksyen 6 Akta 711 bagi mengelakkan percanggahan dengan akta lain dan menggalakkan pendedahan kelakuan tidak wajar tanpa sekatan bawah undang-undang lain.

“Penambahbaikan seksyen 11 Akta 711 bagi peruntukan pembatalan perlindungan kepada pemberi maklumat. Perlindungan boleh dilanjutkan jika pendedahan dibuat tidak membabitkan kepentingan peribadi,” katanya.

Katanya, pemurnian percanggahan pemakaian Seksyen 8 dan 14 Akta itu melalui pengenalan peruntukan baru untuk memastikan agensi penguatkuasaan dapat menjalankan siasatan dengan efektif dan efisien.

Pengenalan skala ganjaran standard bersesuaian untuk memudahkan proses pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat juga dicadangkan.

“Perluasan perlindungan kepada pemberi maklumat dari segi fizikal dengan mengguna pakai Program Perlindungan Saksi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) juga dicadangkan. Adalah dicadangkan juga penubuhan Pasukan Petugas sebagai usaha peralihan kepada penubuhan Agensi Berpusat yang membabitkan fungsi pelarasan aspek tadbir urus bagi pelaksanaan perlindungan pemberi maklumat,” katanya.