Aksi Superman untuk Lajukan Motosikal hanya Mitos

Foto Mstar

KUALA LUMPUR: Fenomena ‘Superman atau aksi berbahaya di atas motosikal sudah lama menjadi subjek perdebatan dan tontonan di jalan raya Malaysia, khususnya peminat motosikal berkuasa kecil seperti Yamaha RXZ.

Aksi membabitkan penunggang meniarap mendatar sepenuhnya di atas motosikal, sering dikaitkan dengan lumba haram dan budaya ‘rempit’.

Ada yang percaya aksi ini mampu mengurangkan rintangan angin secara drastik, lantas membolehkan motosikal mencapai kelajuan lebih tinggi.

Namun, benarkah dakwaan ini? Dari perspektif saintifik, terutama dalam bidang aerodinamik, jawapannya adalah tidak.

Walaupun secara teori aksi ‘Superman’ dapat mengurangkan rintangan udara sangat ketara, ia sama sekali tidak menjadikan motosikal lebih laju dalam senario praktikal di jalan raya.

Ia adalah satu mitos didorong persepsi salah, bukannya prinsip fizik yang sahih. Aerodinamik adalah cabang sains yang mengkaji bagaimana udara bergerak di sekeliling objek sedang bergerak.