
KUALA LUMPUR: Penghayatan dan kefahaman mendalam terhadap ajaran Rasulullah berupaya melahirkan umat Islam yang berperanan menjadi penggerak kepada pembinaan negara bangsa berasaskan nilai Islam, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, warisan ditinggalkan Baginda melalui kepimpinan di Madinah juga adalah contoh terbaik sebagai panduan dalam menghadapi pelbagai cabaran kini.
“Melalui kepimpinan Nabi Muhammad SAW di Madinah, Baginda meletakkan asas-asas kemadanian seperti martabat insan, prinsip keadilan dan kedaulatan hukum, nilai ilmu serta akhlak dan nilai-nilai kemanusiaan berasaskan nilai keagamaan.
“Masyarakat madani dalam erti umat yang berjaya dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW di Madinah itu adalah khayra ummah, iaitu masyarakat atau umat unggul yang dicirikan oleh iman, nilai-nilai khayr (kebaikan), bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat, beriltizam terhadap tanggungjawab pendaulatan nilai-nilai makruf dan pembasmian gejala mungkar,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau sempena sambutan Maulidur Rasul, hari ini.