
SEPANG: Malaysia Airports Hodings Bhd (MAHB) mendedahkan kebocoran bumbung akibat ribut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, dekat sini, berpunca kesilapan dan kecuaian kontraktor.
Menurut MAHB, kontraktor gagal mematuhi prosedur ketika kerja pemulihan dilakukan di kawasan terbabit.
Semakan MAHB mendapati kontraktor gagal menanggalkan penutup papan lapis yang menjadi sebahagian daripada prosedur kerja, sehingga menyumbang kepada punca kebocoran serius terbabit.
Insiden itu berlaku ketika kerja membabitkan infrastruktur kalis air dan pemulihan bumbung sedang dijalankan pada bangunan terminal utama, yang menjadi sebahagian daripada penyelenggaraan berterusan untuk menangani isu infrastruktur semakin uzur.