Ahli Politik Cabul Peserta Unduk Ngadau Dipenjara, Denda RM14,000

Foto Hiasan

KOTA KINABALU: Gara-gara mencabul peserta ratu cantik Unduk Ngadau 2021 seorang ahli politik dijatuhi hukuman penjara keseluruhan 43 bulan dan denda RM14,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini.

Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman itu ke atas Phillip Among, 53, selepas mendapatinya bersalah atas empat pertuduhan mencabul mangsa terbabit pada 19 Mei 2021, antara jam 2 petang hingga 10 malam.

Mahkamah turut memutuskan, pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap Among yang juga penyelaras Parlimen parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah bagi Bahagian Putatan, tetapi kini digantung jawatannya susulan dua laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan serangan seksual.

Among yang ketika kejadian adalah ketua teknikal bagi pertandingan Unduk Ngadau 2021 itu, disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, kedua dan keempat, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM3,000, atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan ketiga, Among dijatuhi hukuman penjara 16 bulan dan denda RM5,000, atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara ialah 43 bulan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan semua hukuman penjara itu dijalankan serentak bermula tarikh sabitan hari ini, menjadikan Among perlu dipenjara selama 16 bulan dan membayar denda keseluruhan RM14,000.