Ahli keluarga delegasi GSFakan dibela: PM Anwar

Foto Mohd Fadli Hamzah / Bernama

SEPANG: Kebajikan ahli keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza akan terbela dan bantuan disalur bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terbela.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan membantu delegasi serta setiap ahli keluarga mereka bagi memastikan tiada sebarang masalah dihadapi sepanjang misi kemanusiaan itu.

Sebagai penaung Sumud Nusantara, beliau turut menzahirkan rasa kagum terhadap semangat juang ditunjukkan semua delegasi Malaysia yang menyertai GSF dalam usaha menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.

“Insya-Allah, bagi pihak kerajaan kita akan terus bantu saudara apa yang tidak cukup dan juga ahli keluarga di sini (Malaysia).

“Saya tidak mahu keluarga berasa resah, sukar dan sebagainya dalam menghadapi beberapa masalah. Jadi, kita akan menghulurkan bantuan kepada mereka serta kepada saudara (delegasi),” kata beliau.