Agrofood: FAMA Ajak Generasi Muda Bertani

Foto Hiasan / AI

KANGAR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang menganjurkan Program FAMA Agropreneur Tour (GAT) sejak 2023, terus menjadi wadah penting dalam memperkasa penyertaan generasi muda bagi menjamin sektor agromakanan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA, Faisal Iswardi Ismail berkata, penyertaan belia dalam sektor itu masih rendah.

Banci Pertanian 2024 Jabatan Perangkaan mendapati 45.3 peratus pengusaha pertanian di negara ini adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas.

“Keadaan ini cabaran besar kepada pertanian negara, justeru, melalui pelaksanaan FAT dan Geran Agropreneur Muda, FAMA berusaha melahirkan lebih ramai usahawan muda yang bukan sahaja berdaya tahan, malah mampu mengurus perniagaan secara moden dan berinovasi.

“Kita mahu mereka melihat bidang pertanian sebagai satu kerjaya profesional yang boleh menjana pendapatan tinggi kerana bidang pertanian kini semakin moden dengan penggunaan teknologi automasi dan Internet Pelbagai Benda (IoT),” katanya

Faisal Iswardi berkata, untuk tahun ini, sebanyak 24 siri kursus FAT dirancang dengan Perlis menjadi lokasi ke-22, manakala kursus itu antara lain turut melibatkan sesi bersama agensi berkaitan seperti Kementerian Kesihatan (KKM) bagi aspek pelabelan makanan dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi ketahanan serta penjenamaan produk.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 2,197 usahawan muda di seluruh negara dibangunkan di bawah program Agropreneur Muda bagi tempoh 2023 hingga kini, melibatkan nilai peruntukan geran sebanyak RM50,050,808.06.