
KUALA LUMPUR: Akta Antibuli 2026 mendapat pekenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini apabla baginda menandatangani akta itu di Istana Bukit Tunku, di sini.
Akta itu, yang digubal dan diluluskan di Parlimen pada 3 Disember lalu bertujuan mewujudkan suatu mekanisme khusus untuk menangani kes buli bagi semua mangsa yang ditakrif dan diperuntukkan di bawahnya.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda berkongsi bahawa di bawah akta berkenaan, empat menteri dan sebuah institusi diberi kuasa untuk mengurus dan mengawal selia kes buli di institusi pendidikan atau institusi lain di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing.
Empat menteri berkenaan ialah Menteri Pendidikan, Menteri Pertahanan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Menteri Dalam Negeri, selain Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Tribunal bagi antibuli juga akan ditubuhkan sebagai suatu badan kuasi-kehakiman khusus untuk menerima, mendengar dan menentukan aduan buli yang dibuat oleh mangsa dan memberikan apa-apa pampasan atau perintah yang sewajarnya bagi maksud pembelaan dan keadilan terhadap mangsa buli.