
SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menyarankan agar sistem pendidikan negara melalui pembaharuan menyeluruh dengan menumpukan aspek kemanusiaan, moral, kawalan emosi dan kesedaran undang-undang.
Seri Paduka Baginda juga menarik perhatian bahawa beberapa insiden jenayah membabitkan pelajar dan siswazah kebelakangan ini menimbulkan kerisauan mengenai tahap sahsiah, disiplin dan nilai agama mereka.
Ini, titah baginda menjejaskan reputasi institusi pendidikan negara.
“Saya berpandangan, sekolah dan institusi pelajaran perlu melalui revolusi pendidikan dengan menitikberatkan elemen kemanusiaan, moral dan kawalan emosi serta kesedaran undang-undang.
“Pendidikan dan pembentukan moral tidak hanya berlaku di bilik darjah atau kampus, sebaliknya ia bermula dari rumah.
“Rumah adalah madrasah pertama bagi setiap insan, tempat anak-anak dididik dengan nilai mulia, disiplin dan tanggungjawab kepada masyarakat,” titah baginda
ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-103 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, semalam.
Sultan Ibrahim turut menegaskan generasi muda perlu berhemah dalam mengendalikan dunia siber kerana pendedahan kepada kandungan ganas boleh meningkatkan sifat agresif.
Namun, Seri Paduka Baginda berpandangan bahawa sekatan teknologi digital bukan penyelesaian terbaik dan berpotensi mengganggu ekosistem pembelajaran.