
Ikhtiar Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam memacu pertumbuhan ekonomi Bumiputera serta memperkasakannya bukan baru. Ia bermula pada 1994 apabila TNB memimpin kontraktor Bumiputera menerusi program vendor dan dari sudut pembuatan perkakas elektrik.
Sejak itu, TNB tanpa henti memberi peluang dan bimbingan kepada usahawan dan kontraktor Bumiputera agar mereka berjaya seiring dengan kemampanan syarikat gergasi elektrik negara itu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata NETR adalah peluang bagi Bumiputera untuk memahami dan menyertai bidang baru yang boleh merentasi sempadan Asean.
Dalam sesi temubual dengan Datin Seri Fazilah Hani Haron dari Channel10 baru-baru lalu, Datuk Megat menyatakan TNB mahu memberi peluang kepada usahawan dan kontraktor Bumiputera dalam beberapa aspek.
“Kami menawarkan peluang dari sudut peluang ekuiti, contohnya dalam bidang solar. TNB juga mahu jadikan kontraktor Bumiputera terbabit memasang dan membangunkan ladang-ladang solar.
“NETR terkait rapat dengan unsur digital dan usahawan Bumiputera yang berkelayakan digalakkan untuk menceburinya. Satu lagi aspek yang boleh disertai oleh Bumiputera ialah konsultansi atau runding cara,” katanya.
Menurutnya, semua itu bukan sahaja boleh membantu TNB memacu kecemerlangan bahkan akan menjadikan kontraktor dan usahawan Bumiputera lebih berdaya saing.
Dalam menjayakan agenda ekonomi Bumiputera, TNB beriltizam membentuk Bumiputera yang mendapat peluang berniaga. Untuk itu, TNB kerap mengadakan sesi libat urus dengan usahawan dan kontraktor Bumiputera selain mengadakan program latihan untuk mereka.
Berdasarkan pengalaman TNB, kecekapan dan kemahiran amat penting untuk memastikan jaya gagalnya kontraktor Bumiputera. Mereka harus menjalani latihan dan mengenali teknologi baru seperti penyelenggaraan infrastruktur.
Modal kerap menjadi isu yang mengekang jaya mundurnya kontraktor Bumiputera dan dalam hal ini, TNB sering menjadi perantara dengan pihak bank bagi memudahkan pembiayaan kewangan.
Bagi mengasuh bakat-bakat muda, TNB juga menghubungkan bakat-bakat muda dari Mara, contohnya, untuk dijadikan anggota kerja yang menimba ilmu dan kemudian bekerja dengan syarikat-syarikat Bumputera.