Afiq Danial Dibantu Realisasi Impian Terus Belajar di UMPSA

Foto Sinar Harian

PEKAN: Afiq Danial Arifin hampir putus asa. Impian untuk sambung belajar pengajian Sarjana Muda Teknologi Automasi Elektronik di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terpaksa ditolak kerana kekurangan wang.

Namun, impian itu kembali berputik dengan keprihatinan semua pihak termasuk guru dan pihak UMPSA, dan akhirnya Afiqmenerima tawaran itu selepas dimaklumkan masalah dihadapi terutama berkaitan kewangan selesai.

“Saya berterima kasih dan bersyukur dengan sokongan daripada semua pihak terutama guru dan UMPSA yang mahu saya mengikuti pengajian di universiti

“Saya akan berusaha dan memberikan yang terbaik atas kerjasama dan sokongan yang diberikan,” kata Muhammad Afiq Danial dari Kampung Bukit Berangan, Tepoh, Kuala Nerus, Terengganu.

Semalam, dengan persiapan yang tidak seberapa, Muhammad Afiq Danial yang juga anak tunggal pasangan Arifin Abu Bakar, 60 dan Wok Awang, 59 hadir dan mendaftar di UMPSA Pekan.

Bagi Wok, dia tidak menyangka anaknya itu berjaya menyambung pengajian di universiti dan berterima kasih di atas pelbagai bantuan yang diberikan.