AEM Bakal Perkukuh Kesepaduan Serantau

Foto IG Tengku Zafrul Aziz

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri Ekonomi Asean (AEM) minggu depan diduga menjadi medan penting dalam usaha membahaskan agenda penting khususnya dalam realiti cabaran ekonomi semasa.

Pada sesi itu, tumpuan meliputi langkah memperkukuh aspek perdagangan dan pelaburan, sama ada sesama negara serantau dan yang membabitkan rakan dagang di luar rantau.

Agenda itu bakal dibentangkan kepada pemimpin Asean serta rakan dialog bagi mendapatkan pengesahan sebelum dibawa ke sidang kemuncak bulan depan.

Ini memerlukan negara Asia Tenggara mengambil langkah jelas bagi memperdalam usaha penyepaduan ekonomi, meliberalisasi perdagangan dengan mengurangkan halangan serta meletakkan rantau ini sebagai destinasi menarik untuk perdagangan dan pelaburan global.

Tujuannya ialah untuk memperkukuh ekonomi masing-masing bagi menyerap kejutan serta impak jangka panjang daripada pelaksanaan langkah tarif dikenakan oleh Amerika.

AEM ke-57 dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, adalah bertepatan bagi memperkukuh kesepaduan rantau ini dalam mengharungi unsur yang berpotensi melemahkan sistem perdagangan global sedia ada.