ADUN Kota Laksamana Lapor Polis, Gesa Siasatan Video Tular Dakwaan Sekolah Agama

Foto : Beautifulnara

MELAKA — Polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) digesa menyiasat segera sebuah video tular yang didakwa mengaitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana Low Chee Leong dan DAP dengan sebuah sekolah agama untuk komuniti Rohingya di negeri ini.

Low menyifatkan dakwaan bahawa dirinya dan partinya bersubahat serta melindungi sekolah berkenaan sebagai fitnah yang mencemarkan nama baik DAP, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong dan dirinya sendiri.

“Untuk itu, saya telah meminta pembantu saya Tan Chin Gwan membuat laporan polis di Balai Polis Tengkera pagi ini, bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya serta untuk melindungi reputasi saya,” katanya pada sidang media di balai polis berkenaan hari ini.

Beliau mendakwa video berdurasi 45 saat yang disebarkan menerusi sebuah akaun Facebook sekitar 8.35 pagi tadi dan ditonton kira-kira 462 kali itu mengaitkan bangunan di Pengkalan Rama Pantai dengan parti tersebut, dan menyifatkan tindakan itu tidak wajar khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Low menegaskan DAP tidak mempunyai bidang kuasa untuk menubuhkan atau mengendalikan aktiviti sekolah agama kerana perkara berkaitan penguatkuasaan agama di negeri itu terletak di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM). “Jadi laporan polis dibuat bagi memastikan dakwaan yang tular itu disiasat secara menyeluruh, terutama kerana ia menyentuh isu 3R… dan dalam masa yang sama mahu JAIM mengambil tindakan berhubung perkara itu, mengikut bidang kuasa jabatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya memang mengetahui mengenai bangunan tersebut dan isu penggunaannya bukan perkara baharu, kerana pernah dibangkitkan beberapa kali sepanjang beliau memegang jawatan ADUN serta dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Pantai. Laporan daripada mesyuarat JPKK itu turut dihantar kepada pejabat daerah untuk tindakan pihak berkaitan.

Sumber : Bernama