Adendum: Peguam Negara gagal ketepikan prosiding semakan kehakiman

Foto MStar

PUTRAJAYA: Peguam Negara gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan Datuk Seri Najib Razak memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.

Titah Adendum terbabit dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 29 Januari tahun lalu, yang membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, sebulat suara menolak rayuan Peguam Negara dan memerintahkan permohonan semakan kehakiman Najib dikembalikan dan meritnya didengar serta diputuskan Mahkamah Tinggi di hadapan hakim baharu.

Peguam Negara selaku perayu juga gagal mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan bagi menyokong permohonan semakan kehakimannya .