Adam Adli Sahut Cabaran Liga Mahasiswa Malaysia

Foto IG Adam Adli

KUALA LUMPUR: Cabaran yang dilontarkan oleh Liga Mahasiswa Malaysia (LMM) untuk berdialog secara terbuka disahut oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Adam Adli Abdul Halim

Menurut Adam Adli, perkara itu sudah dirancang sejak hari pertama beliau bertugas dalam Kabinet Madani untuk mewujudkan platform yang memberi kuasa kepada mahasiswa melaksanakan proses semak dan imbang.

“Setuju dan tidak perlu khuatir; perkara ini sudah dalam perencanaan bagi membuka ruang yang lebih luas kepada mahasiswa,” kata Adam Adli, dalam ruangan komen pada jemputan kenyataan media di Instagram rasmi Liga Mahasiswa Malaysia.

Mahasiswa harus memainkan peranan tanpa mengira latar belakang dan kecenderungan (ideologi), serta tidak hanya terhad kepada penyertaan dalam sesi town hall atau dialog semata-mata, katanya.

Menurutnya, mahasiswa wajar dilibatkan secara langsung dalam proses serta pembentukan dasar berkaitan sistem pendidikan tinggi dan perubahan pada masa hadapan.

Terdahulu, persatuan pelajar itu mencabar Adam Adli supaya mengadakan dialog terbuka di kampus universiti bersama mahasiswa.

LMM turut berpendapat latar belakang Adam Adli selaku bekas aktivis mahasiswa mempunyai tanggungjawab moral untuk berbincang dengan aktivis masa kini.