
Ada kekaburan di kalangan pembuat dasar berhubung penggunaan AI kerana mereka beranggapan ia mudah dilakukan, kata Exco Agama dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Fahmi Ngah.
“Ramai ingat penggunaan AI itu “straight forward”. Contohnya, kita hanya perlu guna aplikasi dari Google sahaja sedangkan kita harus tahu model yang mahu diguna pakai. Kita perlu data, terutama data tempatan.
“Kita perlu memintarkan data-data tersebut dan juga memikirkan apakah ia boleh dibuat di luar negara. Akan wujud soal kedaulatan di sini,” katanya dalam satu wawancara dengan Channel 10.
Menurutnya, Kerajaan Persekutuan perlu wujudkan infrastruktur bersama dengan kerajaan negeri untuk bangunkan data AI tempatan bagi tujuan urusan kerajaan.
Mengenai politik Selangor, Dr Fahmi berpendapat,kawasan-kawasan yang kalah dalam pilihanraya lalu boleh dimenangi semula jika gelombang dilandasi fitnah oleh pembangkang di media sosial ditangani dengan kreatif dan agresif.
“Perlu cepat, sejajar dengan agenda Speed Selangor untuk atasi masalah rakyat. Jika ini dilakukan, saya yakin kita boleh tawan semula kawasan yang terlepas di tangan pembangkang,” katanya.
Dr Fahmi juga menekankan bahawa sebarang perubahan pucuk pimpinan perlu restu presiden parti dan perkenan Sultan Selangor.